Friday, 28 November 2014

Kayuh lah weh la molek molek

Gulai tempoyak bahagian kepala ikan patin. Itu ikan patin sangkar yg berharga sekitar RM8 ke RM12. Ada sebuah restoren yg menjual, sebelah sahaja kepala ikan patin dengan harga RM30. Itu mungkin jenis patin buah atau patin muncong. Patin buah selalunya berharga RM70 ke RM100 atau lebih sekilo tetapi ikan patin muncong boleh mencecah lebih RM300 sekilo. Kalu hendak, boleh ikut teman pergi ngair.

Wednesday, 24 March, 2010
From: "Zainal Abidin" zainalana@yahoo.com

Salam Skot dan sahabat..

'Derah lah weh, kita ni mudek bukannye ngilir..
Kayuh lah weh lah molek molek.
Bukannye ngilir.. kita ni mudek.
Jangan lama, orang weh nunggu.
Kawan ni weh.. nak dapat menantu'.

Diatas ialah lagu orang Pahang (Semantan) yang hendak naik sampan ke hulu sungai, membawa segala hantaran untuk pergi meminang. Bukan apa Skot, bila duduk sesorang tak buat apa.. teringat nak makan gulai tempoyak ikan jelawat.. jadi semalam kawan pun gi lah ke Kuala Lipis. Bertolak dalam pukul 10 pagi dan sampai balik waktu Asar. Dipekan Kuala Lipis ada seorang bekas tentera iaitu Penolong Pegawai Lapang Sasar dari Armor yang dipanggil Bakar Black, berniaga gerai nasi bersama isteri beliau. Setiap kali kawan terasa nak makan ikan patin atau jelawat.. kawan nanti gi lah kegerai dia.. itu kalau diKuala Lipis.

Selain gulai tempoyak ikan patin atau kadang kadang ada ikan jelawat, satu lagi keistimewaan digerai Encik Bakar ialah gulai lemak sayor pucok ubi dengan terung pipit. Terong pipit juga ada dengan sambal ikan bilis dan sambal sambal lain. Oleh kerana dia bekas Recce, kawan tanya Bakar Black kut dia kenal nama nama Skot seperti Kamaludin atau Ismail Panhard. Dia kata tuan Kamaludin.. 3 Armor, saya 2 Armor bersama dengan tuan Ismail Butang. Kenapa awak panggil dia Ismail Butang ? ‘Dia kalau masa inspect parade suka check butang’.

Cerita punya cerita. habis lah dua pingan nasi. DiLipis terkenal juga dengan perusahaan yang berasaskan buah kabong. Gula kabong, sira buah kabong (buah kantor) juga dodol gula kabung. Dari Raub, kalau sampai round about Benta, masuk kanan keKg Budu yang ada kubu Mat Kilau, Kg Chat dan Kg Peruang.. semua tempat tempat ini ialah cottage industri dari buah kabong. Selain dari pokok kabong yang banyak tumboh liar dikawasan tersebut, pihak Mardi juga telah menanam 50 hektar pokok kabong. DiKg Peruang, kawan beli buah kabong untuk makan dengan ayer sirap. Semasa balik dan singgah dimasjid Bentong, kawan jumpa dengan Skot Lt Kol Udara (B) Mahyudin. yang juga singgah dalam perjalanan dari Kelantan untuk solat. Dia ni dulu at one time.. pernah cerita hal dia masuk dalam surat khabar but for a different reason. Macam macam Skot kita ni. Sampai dah kita ni weh.. aaa berenti berenti... terlanggor kejamban tu karang. Aa tunjukkan tali tu.. Laah rabunnye betoi.. mana pulak selendang aku tadi..

Z

Subject: Kayuh lah weh la molek molek

From: "mal" mal1331@yahoo.com

Salam Nal, Hok alek mana kedai Bakar Black tu? Dulu teman peronah menghuni kat rest house Kuala Lipis tu tahun 79 masa buat area study utk psyops course. Kami waktu tu selalu makan kat sederet kedai yang di depan rest house tu sebab pada wktu itu disitulah tempat makan orang Melayu yang paling top di pekan Kuala Lipis. Dalam sejarah hidup teman itu lah kali pertama teman merasa gulai tempoyak dan ianya terus melekat sampe le sekarang. Masa kat rumah mertua teman waktu baru-baru kahwin dulu, deme heran tengok teman bantai gulai tempoyak tanpa masaalah, sebab setahu deme kat Kedah mana ada gulai tu. Jadi teman cerita le perihal belajor makan gulai tempoyak kat Kuala Lipis tu. Agaknya ada ke lagi deretan kedai yang jadi tempat kami makan dulu sebab lepah pada tahun tu idak le teman singgah kesana lagi..

Buddy teman waktu tu Dato Fadzrul, sebulan kami disana, banyak le tempat dan kampung yang kami redah untuk keperluan kajian termasuk le Merapoh yang mana waktu tu kena naik keretapi untuk pergi dan balik.Teringat teman waktu tu, hari dah petang dan teman tengah interview responden untuk cukupkan quota teman hari tu, tiba-tiba teman dengor bunyi keretapi sayup-sayup je, hah apa lagi terus salam dan berlari le ke stesen sebab kalau miss yang itu pakai tidor kat mesjid le sebab itu keretapi last ke Kuala Lipis. Banyak juga kisah menarik semasa di Kuala Lipis tu. Insyaalah kalau diizin dan ada rezeki boleh le teman kesana dan mencari tempat-tempat yang mike cerita tu.

Wasallam.
 
 
1013561 PW 1, Bakar Black dengan gulai tempoyak ikan jelawat. Gambar bawah ialah Skot Lt Kol Mahyudin (B) TUDM
 


Subject: Last train from Merapoh
From : zainalana@yahoo.com Sent :
Thursday, 25 Mar, 2010
To: Kamaludin Recce

Salam Din,

Oleh kerana hang cerita pasai kejar nak naik keretapi last dari Merapoh pi Kuala Lipis.. teringat dalam minggu lepaih ada filem Last train from Gun Hill kat Astro, starring Kirk Douglas dan Antony Quinn. Masa tengok wayang tu masa kecik kecik dulu, bukannya paham sangat pun sebab cerita tu banyak berlabun.. cuma last last ada draw pistol. Jadi masa tu duduk dikampung, ramailah yang buat dan main pistol yang guna peluru terong pipit atau juga dikenali terong Belanda. Kalau tak ada terong pipit, buah cherry muda pun jadi.. tapi tak boleh le guna getah untuk tarik kuat sangat sebab nanti tercabut kepala buah cherry tu dari tangkainya.

Dalam cerita perang pulak, masa kita masih kanyiak dulu, Antony Quinn starring dalam filem the guns of Navarone. Orang tua kawan, masa kami duduk di Camp Majidee dulu, beli record dari NAAFI lagu theme the guns of Navarone tu. Orang tua kawan pun memang minat pasai musik dan ramai ramai senior NCO yang duduk diblock 9, Majidee Barrack masa tu, kami sahaja yang ada radio gramm. Peti ais tak ada tapi radio gramm ada. Apa pun ada tiga je rekod 45 rpm iaitu yang ada dua lagu sebelah menyebelah. Selain rekod lagu Guns of Navarone, dua rekod lagi ialah lagu North to Alaska dan Under the Board Walk. Lagu yang ada cerita dalam North to Alaska tu, tidak le sedap sangat.. tapi kerana dah hari hari dengor.. jadi sedap le juga.

Sekali tu 4 RMR buat Family Day dan dia orang pinjam rekod lagu Under the Board Walk.. apalagi, sepuloh kali sekejap le lagu tu dia orang mainkan. Kawan pun, tak padan yang kecik.. sikit punya tarik ke last verse lagu tu. Kalau wayang Tamil, tak sah kalu tak ada keretapi dan selalunya dia orang pulak kalau tengok wayang, bukan sekali.. tapi berulang kali tengok cerita yang sama. Itu le sebab industri perfileman dia orang maju kalau dibandingkan dengan filem filem Melayu.

Lepas dah tengok sekali wayang cerita Tamil dipanggong Rex diKuale, seorang Ane dari Kati Estate berkata yang dia nak pergi tengok cerita tu lagi. Dia kata dalam filem tu ada adegan heroinnya yang cantik tengah nak tangge kain untuk nak turun mandi dalam sungai. Tiba tiba keretapi lalu.. panjang pulak keretapi tu pun. Bila dah lepas, heroin tu dah masok mandi dalam sungei.. terlepas le. Jadi dia nak pergi le tengok wayang tu sekali lagi.. sebab, 'ini kali itu keretapi mungkin lambat sampai..' Itu cerita zaman Low Road ada kedai todi dulu, bukannye geng MIC je pergi situ.. MCA dan UMNO pun rame juga yang minat. One Malaysia.. dulu lagi dah ada..

Z
Bergambar di hadapan radio gram semasa duduk di Block 9, Majidee Camp. Johor Bahru. Bonda Masitah, Nazaruddin, Zainal, Shaharulzaman dan kakak Saedah binti Mohd Zain
Senior NCO Block 9 : Pakcik Sarji, Othman, Mat Norbi, Mohd Zain (my dad) dan Hussain Ahmad (bapa mertua) serta isteri masing-masing
Gulai tempoyak ikan patin Temerloh. Belum siap.. orang dah beratur menunggu.

Rumah rakit di Endau Rompin. Lebih kurang dua jam perjalanan dengan bot with obm, 15 kuda dari Endau

Mancing udang galah dan ikan patin diatas rumah rakit. Dapat..; makan disitu. Sebelah malam tahan taut atau tajor disekeliling rakit sahaja dengan umpan anak seluang atau udang galah. Selalu dapat ikan baung dan ikan tapah yang besar besar.







.

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites