Wednesday, 5 November 2014

Angin Laut China Selatan

Signboard menghala ke rumah Lt Kol Hj Salleh Anuar

Dato, Skot dan Sahabat yang dihormati sekelian, Assalamualaykum wbrt dan salam sejahtera.., Semasa memandu mendaki dan menurun dengan selesa melalui lebuhraya dikawasan Genting Sempah diKarak Highway untuk menuju kePantai Timor, fikiran dan ingatan saya melayang dan terkenang betapa mencabarnya untuk membawa convoy melalui Bukit Bentong yang penuh berliku dizaman awal tujuh puluhan dahulu. Salah satu dan malahan tugas sebagai convoy commander yang pertama bagi saya ialah untuk membawa anggota dan kelengkapan Skuadron Peninjau yang baru pulang dari Malaysia Timor untuk balik kepengkalan mereka diKuantan. Mungkin juga menyedari yang itu ialah tugasan saya yang pertama sejak baru sahaja ditauliahkan dan belum pun menghadiri kursus JOC untuk pegawai muda KP, Adjutant KP 2 Div, Capt Nazri semasa diMess 2 Div telah memberi arahan dan nasehat yang panjang lebar supaya saya melaksanakan tugas dengan baik bagi menjaga imej Kor Perkhidmatan. Ini kerana semasa itu hanya saya seorang sahaja subaltant diunit 20 Kompeni Angkut yang berpengkalan diSungai Besi semasa itu, sebelum unit pasukan itu berpindah keSungai Petani, Kedah. Begitu prihatin, sikap dan tanggung jawab pegawai pegawai dahulu.
 
Sejak dari pukul tujuh pagi lagi, kira kira dua puluh biji 3 ton telah siap terpacak menunggu kapal Kota Ratu yang masih dilaut untuk berlabuh diPelabuhan Kelang dan hingga kemalam barulah barang barang termasuk kenderaan siap dipunggah dari kapal dan dimuatkan kedalam lori tiga ton dan convoy pun mula bergerak untuk keKuantan diiringi kenderaan Perisai dari Skuadron Peninjau itu sendiri. Mengikuti convoy itu dari belakang, saya tidak akan lupa melihat deretan pemandangan lampu merah tail light dari kenderaan kenderaan didalam convoy tersebut melengkar menaiki jalan bukit Bentong yang gelap gelita merentasi hutan dikelilingi gunung dan jeram rabung yang tinggi. Sekiranya ada sebuah sahaja lori balak yang sesama mendaki jalan Bukit Bentong itu, maka sudah cukup untuk menyekat kelancaran pergerakan convoy dan disinilah convoy commander perlu bertindak dengan bijak untuk memastikan semua kenderaan berjalan lancar. Kira kira tengah malam apabila sampai diKem Mentakap, satu berita sedih telah menyelubungi setiap anggota tentera terutama Rejimen Askar Melayu DiRaja atas kemangkatan baginda Sultan Pahang. Maka apabila sampai diKuantan, tugas saya bertukar dari membawa convoy kepada ceremonial duty dan saya pun berangkat kePekan, Pahang untuk urusan perkebumian almarhum DYMM Sultan Pahang.
 
Semasa mengiringi isteri saya keJerantut Pahang dan Kemaman diTerengganu, kami telah bermalam diKuantan. Sebelum itu oleh kerana jalan menuju keJerantut itu melalui Temerloh, maka saya tidak melepaskan peluang untuk makan gulai tempoyak ikan Patin digerai ditepi sungai yang terkenal diTemerloh itu dan kemudiam membawa bungkus pula untuk makan lagi bersama dengan Lt Kol (B) Che Dan KP dan isteri beliau. Che Dan menjadi Setiausaha Sulit kapada Tengku Mahkota Pahang dan beliau memaklumkan bahawa kontrek beliau telah disambung lagi sehingga tahun 2011 yang mana ketika itu umur beliau akan menjangkau 63 tahun. Esoknya tu saya sekali lagi telah pergi kePekan Pahang.. saja jalan jalan untuk mengimbau kenangan lama dan pada sebelah malamnya telah sembang sembang dan makan malam dengan Dato Suffian. Beliau ialah Dato Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang. Mengetahui Skot Baharom yang sekarang berada diTerengganu, maka saya pun pergilah untuk berjumpa dengan Mejor Bersara kawan kita ini yang sekarang membuka dan mengusahakan kilang jahit diBukit Payong diTerengganu. Dia berhajat untuk berjumpa dengan Dato Mej Jen Salim Ali, Panglima Ketua Lojistik Tentera Darat, untuk mendapat peluang berniaga buat uniform dengan Mindef. Saya berkata pada Baharom, 'Apa susahnya.. kan dia Skot..' Kalau hendak sesama hendak, gajah berantai lagikan terlepas, kata lirik lagu orang Terengganu.
 
Terkenang semasa dulu, beberapa hari sebelum kita mengangkat sumpah untuk secara rasmi menjalani latihan Pre OCTU diSebatang Karah, bakal pegawai kadet (BPK) semuanya dilayan dengan penuh mesra dan baik untuk menjinakkan mereka dan sebagai orientasi untuk persiapan menjadi anggota tentera didalam Kem Sebatang Karah tersebut. Siapa yang gentar atau tidak yakin masih lagi boleh untuk menarik diri untuk balik kampung. Apabila selesai sahaja acara angkat sumpah yang diterajui oleh Capt Chanchal Singh KP dan pintu pintu bilek panjang yang dijadikan dewan itu dibuka, Skot Skot telah dikejutkan dengan kehadhiran Staff Staff Instructor dengan berpakaian Battalion Orderly Sargent (BOS), siap dengan selepang merah menunggu dengan serious disetiap pintu dan terus lantang dan menengking memberi arahan kepada kadet kadet.. maka bermulalah detik kelang kabut bagi semua Skot Skot dari ketika itu termasuk arahan yang tegas dari PT Instructor. Tak boleh terhegeh hegeh.. seorang punya pasal, habis yang lain akan kena dera. Pendek kata mereka mereka yang masih muda dan masih didalam proses membesar ditambah pula dengan menghentak kaki dengan boot kawat yang berat, mungkin boleh membantutkan tumbesaran kerana kejutan perubahan pada cara hidup mereka.
 
Jadi semasa sebelum kita mengangkat sumpah tersebut, beberapa orang Skot telah duduk dibawah pokok Macang ditempat yang kemudian dimana kepala mereka telah didogolkan. Che Dan bercerita dengan loghat Kedahnya kepada isteri isteri kami, 'kita tunduk kepala.. ingatkan dia guna mesin untuk gunting dari belakang tengkok.. rupa rupanya dia sodok dari depan dahi'. Disitu ada satu tali besar digantung didahan pokok macang tersebut dan Skot Skot pun mulalah secara seronok seronok mencuba untuk memanjatnya. Skot Haris Penang semasa itu bolehlah dikatakan menyerlah kerana dia memanjat tanpa membelit tali itu dengan kaki dan hanya menggunakan kekuatan tangan sahaja untuk memanjat tali itu. Oleh kerana beberapa orang Skot yang lain yang mencuba memanjatnya telah gagal kerana tidak menggunakan teknik yang betul oleh kerana latihan belum dijalankan lagi, seorang Staff yang berada disitu telah menceritakan bahawa dahulu, ada seorang kadet yang gaya dan bercakap ala seorang yang lembut namun dia telah menjadi seorang yang tough dan dia boleh panjat tali itu dengan sekali henjut sahaja satelah menjalani latehan. Kenyataan yang sebegitu telah menyuntik semangat dan perangsang kapada mereka yang berada disitu dan tidak sabar lagi untuk memulakan latihan.
 
Apabila kita berhijrah ke RMC, barulah diketahui bahawa kadet tersebut ialah senior Regular 15, iaitu Cadet Sarjan Salleh Anuar dari Abdul Rahman Kompeni yang ditauliahkan bersama Skot 22 kita. Pada hari Isnin, 19 Okt 09, mewakili Skot 22 yang berada diKelantan iaitu, Lt Kol Udara (B) Mokhyiddin yang akan berangkat menunaikan haji, Lt Kol (B) Nik Bakar, Skot Hanapi dan saya berserta dengan Skot dari Regular 15 iaitu Dato Mej Jen (B) Yunus Long, Dato Mej Jen (B) Megat Mohd Yusof, Lt Kol (B) Suhaimi Mohd Zain JLJ, Lt Kol (B) Che Dan KP, Mej (B) Mat Arif, iaitu JUO Abdul Rahman Coy dan Mej (B) Mohd Yasin Jurutera iaitu Cadet Sarjan Abdul Rahman Coy semasa diRMC dahulu, telah bersama sama menziarahi Lt Kol (B) Salleh Anuar Rjr, Skot Tauliah Jangka Tetap atau Regular Intake15 yang sekarang gering mengidap barah tulang. Juga telah melapangkan masa melawat bersama ialah Panglima Lapan Briged iaitu Brig Gen Abdul Rahim. Boleh dikatakan semua yang hadhir termasuk isteri isteri telah terharu dan simpati apabila Salleh menceritakan akan keperitan mengenai penyakit kanser tulang atau bone marrow cancer dan kos perubatan yang terpaksa dibiayai malah cara dia bercerita sebaliknya telah memberi pengetahuan kepada yang hadhir mengenai penyakit itu namun bagaimana berat sekali pun mata memandang, berat lagi bahu memikul.
 
Dikesempatan yang sama, Dato Megat selain menyampaikan salam dan sumbangan dari Skot Regular 15 yang lain yang tidak dapat hadhir, beliau juga telah menganjurkan kutipan bagi kami sumbangkan kapada Salleh dan sebaliknya Salleh beserta isteri dan keluarga juga telah bersusah payah menyediakan hidangan nasi briyani serta dessert pudding dan hidangan lain yang lazat dan menyelerakan kapada kami sebagai tetamu, menjadikan suasana pada hari itu seperti open house hari raya pula yang kebetulan hari terakhir bulan Syawal. Sesungguhnya angin laut China Selatan yang membawa rahmat dengan menyirami hujan disetiap petang selama tiga hari semasa saya diKota Bharu juga menyaksikan pertemuan silaturrahim sesama hamba Allah yang ditakdirkan telah bersama sejak dari tahun 1970 lagi bagi mereka didalam Regular 15 dan dari tahun 1972 dengan kita SSC Skot 22 pula, semasa diMaktab Tentera DiRaja.
 
Saya berkata kapada Salleh semasa bersalam perpisahan semasa hendak balik, bahawasanya saya niat datang dari Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan tuan dan semasa didalam perjalanan saya kemari saya telah berenang didalam lautan rahmat dan apabila saya sampai saja tadi, terus saja saya tengelam didalam lautan rahmat itu (Mafhum hadith mengenai fadhilat melawat orang sakit). Dia berkata yang dia juga berbesar hati dan sangat suka dapat peluang berjumpa dengan kawan kawan. Semoga Allah memberkati dan meRahmati Salleh dan keluarganya. 'Sekiranya Allah menghendaki sesaorang hambaNya ditimpa musibah berupa sakit, maka diutusNya tiga Malaikat kepada orang tersebut. Malaikat pertama mengambil seri mukanya, Malaikat kedua mengambil nafsunya. Maka jadilah orang itu tidak beseri dan tidak bermaya serta hilang selera dan nafsu serta semangatnya. Malaikat yang ketiga pula diutuskan untuk mengambil segala dosa orang tersebut untuk disimpan. Apabila hambaNya dikehendaki oleh Allah untuk sembuh atau pulih, maka disuruhNya Malaikat Malaikat itu mengembalikan segala barang kepunyaan orang itu kecuali Malaikat ketiga yang mengambil dosa orang tersebut. Maka berkata Malaikat itu, 'Ya Allah, semua barangan orang itu telah dikembalikan tetapi mengapa Engkau tidak memerintahkan aku untuk kembalikan akan dosa dosanya? Maka Allah berfirman, 'cukuplah bagi orang itu yang telah merasakan akan azabnya dari Ku.' Mafhum hadith.
 
Dua perkataan menghendaki dan dikehendaki itu bolehlah ditakrifkan sebagai kudrat atau kuasa dan iradat Allah yaini sebahagian dari sifat Allah SWT. Alhamdulillah ada rahmat disebalik musibah yang menimpa. "When the going gets tough.. the tough get going.. but when the going gets tougher.. there stood the patient and the resilience who endures..". Dedicated to Lt Kol (B) Tuan Haji Salleh Anuar.
 
Wassalam,
Z
 
Pada 071614 Hrs, November 2009 bersamaan 1430 Hijrah, saudara Salleh Anuar telah kembali keRahmatullah. ‘Semoga roh beliau bersama dengan para shuhadah dan mereka mereka yang solehin’. Kata kata dari sms Dato Mej Jen (B) Yunus Long.


At 2 Div Officers’ Mess taken on November 1974

 


Lt Kol (B) Che Dan KP dan isteri


Kilang Jahit Skot Mej Baharom
Dato Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang
Skot Lt Kol Nik Bakar (B) kena detail baca doa
Regular 15 dan Skot 22 menziarahi Lt Kol Salleh Anuar Rjr (B)
Lt Kol (B) Suhaimi, Zainal, Dato Mej Jen (B) Megat Mohd Yusof, Brig Jen Abdul Rahim, Dato Mej Jen (B) Yunos Long, Lt Kol (B) Che Dan, Lt Kol (B) Nik Bakar, Lt Kol Udara (B) Mokhyiddin, Mej (B) Mohd Yasin dan Mej (B) Mat Arif dan duduk di tengah ialah Lt Kol (B) Tuan Haji Salleh Anuar bersama isteri-isteri masing masing
Al Marhum Sultan Abu Bakar memeriksa perbarisan 4 RAMD diKem Mentakap
 
 
 
 
 
 
 
 
 

 

.

0 comments:

Post a Comment

Share

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites